My Add

Monday 18 February 2013

Malaysia lalui pembangunan secara konsisten

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Februari, 2013: Malaysia kini melalui pembangunan yang konsisten, stabil dan berterusan dalam menuju sebuah negara maju.

Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, negara tidak memerlukan pembangunan yang mendadak atau menakjubkan kerana tidak akan bertahan lama.

"Kita juga tidak mahu kembali kepada sebuah negara yang mundur.

"Apa yang kita mahukan ialah pembangunan yang stabil. Dengan sokongan sektor swasta termasuk Kumpulan Genting, saya yakin kita akan mencapai perkara itu (pembangunan konsisten) tahun ini serta tahun-tahun mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Tengah Hari Kumpulan Genting sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Najib dan isteri sebelum itu menyampaikan angpau kepada pengunjung yang hadir.

Tambah Najib, beliau juga berterima kasih kepada Kumpulan Genting atas sokongan dan bantuan yang diberikan terutamanya dalam menghulurkan dana pendidikan di negara ini.

Katanya, sokongan padu daripada komuniti dan syarikat swasta seperti Kumpulan Genting mampu menambah dana dalam bidang pendidikan.

"Pemberian sumbangan itu juga tidak tertumpu kepada sekolah yang terkenal, sebaliknya turut dihulurkan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang memerlukan.

"Kejayaan Kumpulan Genting juga adalah hasil bantuan dan kerjasama erat kerajaan. Ini terbukti selepas zaman kemerdekaan hingga kini," katanya.

Terdahulu, Kok Thay menyampaikan sumbangan kepada 30 rumah dan persatuan kebajikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment