My Add

Monday 18 February 2013

Malaysia negara maju lebih awal

 *NOR Mohamed Yakcop (bersongkok) meninjau permasalahan nelayan sempena Mesyuarat Agung Pakatan Nelayan Sungai, Pengkalan Machang, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

Oleh AZELI ALI
TASEK GELUGOR, AHAD, 17 Februari, 2013: Malaysia berkemungkinan mampu mencapai status negara maju lebih awal iaitu pada 2018 jika kadar pertumbuhan ekonomi negara kekal melebihi lima peratus dalam tempoh empat tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu mempunyai pendapatan per kapita AS$15,000 (RM46,500) dan sekarang pendapatan per kapitan negara sudah melebihi AS$9,700 (RM30,070).

Selain itu jelasnya, secara purata sejak 1957, kadar pertumbuhan ekonomi negara kekal pada kadar enam peratus setiap tahun dan ia dicapai hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara dengan cekap.

"Ekonomi negara kini berada dalam keadaan baik hasil kecekapan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cukup berhemah dalam perbelanjaan serta memiliki kemahiran mengurus yang mantap," kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pakatan Nelayan Sungai Pengkalan Machang dekat Sungai Dua di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed.

Tambahnya, kadar pengangguran di negara ini yang rendah iaitu pada kadar tiga peratus juga menjadikan negara berada pada landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju.

Jelasnya, kerajaan tidak pernah ambil mudah dengan isu pengangguran dan atas sebab itu ditubuhkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang menyediakan peluang latihan kepada kira-kira 20 peratus graduan yang gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian.

"Setiap tahun hampir 100,000 pelajar tamat pengajian di universiti dan 20,000 daripadanya gagal mendapat kerja dalam tempoh enam bulan, jadi kerajaan menyediakan SL1M bagi memberi skil tambahan kepada mereka untuk menempuh alam pekerjaan sebenar.

"Kerajaan amat prihatin dengan nasib mereka dan pelbagai langkah telah diambil selaras dengan kemampuan dan kemahiran negara serta tidak meminggirkan mana-mana pihak," ujarnya.

Selain itu katanya, apa yang dilaksanakan kerajaan membuktikan Kerajaan BN yang ada memiliki niat yang ikhlas serta mempunyai pemimpin yang berani dan berfikir di luar kotak agar generasi akan datang dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment