My Add

Saturday 16 February 2013

Masa depan masyarakat Siam terjamin di bawah BN - Shahidan

KANGAR, SABTU, 16 Februari, 2013: Masa depan masyarakat Siam akan lebih terjamin di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu memberi mandat kepada BN untuk terus menerajui negara dan menikmati segala kemudahan yang sebelum ini telah diperuntukkan kepada mereka.

Berucap pada majlis penyampaian bantuan membaiki rumah kepada enam penerima keturunan Siam di Kampung Padang Cheria dekat sini malam tadi, beliau yakin masyarakat Siam memerlukan kerajaan yang sentiasa menunaikan janji.

Shahidan yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tambun Tulang berharap mereka menolak cubaan parti pembangkang yang cuba meraih sokongan masyarakat Siam dengan janji manis mereka.

Katanya, selama ini masyarakat Siam telah menikmati pelbagai kemudahan dan yakin mereka tidak akan cuba mengambil risiko pada pilihan raya umum akan datang.

"Kami tidak minta apa-apa daripada masyarakat Siam tapi kami akan terus memberi. Cuma kami minta teruskan sokongan kepada kerajaan BN pada pilihan raya," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membaiki rumah kepada enam penduduk dari Kampung Padang Cheria, Padang Pattani dan Behor Gelam dengan setiap seorang menerima RM2,500.

Katanya, sumbangan itu walaupun kelihatan kecil namun cukup untuk membaiki kerosakan kecil berdasarkan penilaian JKM pada rumah-rumah berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment