My Add

Thursday 14 February 2013

Masyarakat Cina diseru terus berperanan tingkat ekonomi negara

MUAR, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Masyarakat Cina di negara ini diseru supaya terus memainkan peranan utama membantu kerajaan untuk memajukan ekonomi negara terutama dalam keadaan iklim ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang hanya tinggal tujuh tahun lagi, sumbangan kaum itu amat diperlukan bagi mengekalkan momentum ekonomi negara.

"Kita mahu lihat masyarakat Cina dapat terus memain peranan menyumbang memajukan negara dalam pelbagai sektor ekonomi dan kita tahu jika tidak ada kaum Cina yang membantu selama ini, kita tidak akan mampu mencapai negara maju seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yue Jern Bukit Pasir di sini hari ini.

Majlis dihadiri lebih 8,000 penduduk setempat anjuran 30 badan bukan kerajaan (NGO) Cina Bukit Pasir itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr Shaharuddin Salleh.

Muhyiddin berkata, walaupun banyak negara di dunia berdepan masalah ekonomi namun ekonomi Malaysia masih mampu berkembang sehingga menarik ramai pelabur asing menanam modal di negara ini dan membolehkan Malaysia tersenarai sebagai antara 10 negara terbaik dari segi pelaburan.

Ini, katanya, menunjukkan dasar ekonomi yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengikut acuan sendiri selama ini adalah antara yang terbaik untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang membolehkan semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama memperoleh peluang hidup lebih baik.

Katanya, dalam usaha membangunkan ekonomi negara, kerajaan mesti mewujudkan suasana dan iklim ekonomi sesuai yang akan meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, memberi jaminan sekolah aliran Cina dan Tamil akan dikekalkan dalam sistem pendidikan negara selagi Barisan Nasional memegang tampuk pemerintahan negara.

"Kita tidak pernah sekat (pembinaan sekolah jenis Cina dan Tamil). Sepanjang 50 tahun kita perintah kita tidak pernah tutup sekolah Cina atau Tamil dan kita kekalkan ia dalam sistem pelajaran negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment