My Add

Friday 15 February 2013

Masyarakat Kadazan Dusun Murut diajak beri mandat besar kepada Najib

KOTA KINABALU, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia), Datuk Peter Anthony mengajak rakyat Sabah khususnya masyarakat KDM supaya memberi mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak bagi meneruskan agenda transformasi kerajaan untuk faedah rakyat.

Beliau berkata, sejak mengambil tampuk pemerintahan negara lebih empat tahun yang lalu, Perdana Menteri sentiasa bekerja keras dan tekun serta turun padang untuk mendengar permasalahan rakyat di seluruh negara.

"Inilah pemimpin yang kita mahu yang mana dalam masa terdekat banyak transformasi atau perubahan yang dibawa untuk rakyat. Sebab itu, saya mengajak masyarakat KDM untuk bersama-sama dengan Perdana Menteri menjayakan misi murni beliau untuk melihat negara kita menjadi negara maju menjelang tahun 2020," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Peter berkata demikian ketika diminta mengulas sambutan rakyat khususnya masyarakat KDM yang memberangsangkan terhadap lawatan Najib ke tiga kawasan Parlimen iaitu Beaufort, Papar dan Tuaran, semalam.

Katanya, ini menunjukkan rakyat Sabah berdiri teguh menyokong Najib, arkitek gagasan 1Malaysia dan BN yang terbukti kemampuannya membela nasib rakyat.

"Saya lihat majoriti masyarakat KDM di Sabah termasuk yang tinggal di pedalaman kini sudah faham akan perjuangan pakatan pembangkang di mana tujuan mereka hanya semata-mata kepentingan keluarga dan peribadi.

"Mereka (Pakatan Rakyat) tidak ada tujuan langsung untuk memperjuangkan hak asasi negeri Sabah. Berbanding dengan BN, banyak pembangunan yang dibawa untuk meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya. 

Peter berkata, walaupun masih ada kelemahan atau kekurangan daripada segi pelaksanaan pembangunan terutama projek luar bandar, namun kelemahan itu boleh diperbaiki.

"Kita harus ingat kawasan Sabah ini luas, dan dengan keadaan geografi yang bergunung ganang, mungkin beberapa projek pembangunan mengambil masa sedikit untuk direalisasikan," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, perjuangan BN masih relevan dan berharap rakyat Sabah tidak mudah terpedaya dengan pelbagai janji kosong pembangkang yang cuba meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment