My Add

Thursday 14 February 2013

MNLF bantu bebas tebusan asing

MANILA, RABU, 13 Februari, 2013: Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) akan meneruskan usaha untuk membebaskan tebusan asing termasuk seorang rakyat Malaysia di selatan Filipina, yang ditahan kumpulan militan Abu Sayyaf, yang ada kaitan dengan rangkaian al-Qaeda, walaupun pertempuran antara kedua-dua belah pihak pada minggu lalu mengorbankan banyak nyawa.

Pengerusi MNLF, Nur Misuari berkata, beliau telah mengarahkan anggotanya supaya mengkaji semula rancangan mereka ekoran pertempuran pada 3 Februari lalu.

Katanya, operasi itu memberi keutamaan untuk membebaskan beberapa tebusan termasuk seorang warga Jordan dan dua rakyat Eropah tanpa membahayakan tebusan atau penduduk dekat bandar pergunungan Patikul, wilayah Sulu.

‘‘Saya tidak mahu menyelesaikan satu kesilapan dengan melakukan kesalahan lain,’’ katanya.

Dalam pertempuran itu, lapan anggota MNLF termasuk seorang komander dan beberapa lelaki bersenjata daripada kumpulan Abu Sayyaf terbunuh, manakala baki kumpulan militan itu berjaya melarikan diri bersama tebusan dari kawasan persembunyian mereka di hutan Patikul.

Menurut polis, keadaan mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf termasuk seorang wartawan televisyen Jordan, satu masing-masing dari Switzerland dan Belanda serta pencari harta karun, seorang masing-masing dari Jepun dan Malaysia masih tidak diketahui selepas pertempuran itu.

Sementara itu, Misuari yang baru pulang daripada lawatan ke luar negara berkata, beliau akan ke Sulu tidak lama lagi bagi menyerahkan uniform tempur dan beberapa bekalan lain kepada anggota kumpulan itu.

Beliau menafikan campur tangan anggota bersenjata daripada kumpulannya dalam menyelesaikan kes penculikan itu bertujuan mencari publisiti bagi membantu pencalonannya sebagai gabenor wilayah autonomi tersebut pada pilihan raya 13 Mei ini. - AGENSI

No comments:

Post a Comment