My Add

Tuesday 12 February 2013

Muhyiddin minta pelajar kita rebut peluang serantau dalam komuniti ASEAN

JAKARTA, SELASA, 12 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pelajar Malaysia di Indonesia supaya bersedia merebut pelbagai peluang keemasan yang akan wujud di rantau ASEAN melalui pembentukan Komuniti ASEAN pada 2015.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembentukan Komuniti ASEAN akan menjadikan rantau ini pusat pasaran dan pengeluaran tunggal bagi pergerakan modal dan profesional yang lebih bebas dan lebih terbuka antara negara ASEAN.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang paling pesat berkembang di rantau ini akan menyediakan pasaran yang besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serantau pada masa depan.

"Banyak peluang pekerjaan, perniagaan, pelaburan dan perdagangan yang akan wujud di kedua-dua negara yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi serantau," katanya ketika berucap merasmikan Dewan Malaysia Jakarta di sini, hari ini.

Muhyiddin berharap peluang berada di Indonesia digunakan dengan sebaiknya untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman, sekali gus merintis jaringan dengan komuniti setempat dalam pelbagai sektor.

Beliau percaya langkah itu akan dapat membantu mewujudkan hubungan bermanfaat antara rakyat kedua-dua negara dalam merealisasikan aspirasi Komuniti ASEAN.

"Saya berharap supaya pelajar Malaysia di Indonesia dapat turut membantu menjayakan agenda Komuniti Asean dengan berperanan sebagai duta kecil yang akan mengeratkan lagi hubungan dua hala Indonesia-Malaysia, dan mewujudkan hubungan saling menguntungkan antara kedua-dua negara," katanya.

Tahun 2015, katanya, adalah tahun yang bermakna kerana Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN, dan sekali gus Malaysia akan memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan Komuniti ASEAN, termasuk menyediakan deraf halatuju Asean selepas 2015.

Menurut beliau, banyak peluang pekerjaan, perniagaan, pelaburan dan perdagangan akan wujud di kedua-dua negara yang bakal menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi serantau.

Timbalan Perdana Menteri juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pembangunan Dewan Malaysia Jakarta yang menjadi lambang kemegahan Malaysia di Indonesia.

Dewan Malaysia Jakarta menyediakan ruang kepada pelajar dan masyarakat Malaysia untuk berinteraksi antara satu sama lain, dan menjalankan pelbagai aktiviti kebudayaan dan keilmuan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya sebelum itu berkata, Dewan Malaysia Jakarta di Jalan Hos Cokroaminoto, Jakarta Pusat, yang dibangunkan dengan harga RM3.79 juta, dijadikan pusat komuniti rakyat Malaysia di ibu negara Indonesia ini.

Turut hadir pada majlis perasmian Dewan Malaysia Jakarta ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment