My Add

Saturday 23 February 2013

Muhyiddin puji kerajaan BN Sabah turun kadar kemiskinan secara drastik

TENOM, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman kerana berjaya mengurangkan kadar kemiskinan ke paras yang lebih rendah iaitu sekitar lapan peratus dalam tempoh empat tahun ini.

Timbalan perdana menteri berkata, dakwaan pembangkang, kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah gagal membawa pembangunan, ialah " fitnah dan pembohongan semata-mata".

"Pembangkang sebut Sabah miskin, Sabah tidak ada rakyat yang maju, Sabah tiada kemudahan, Sabah tertinggal di belakang... ini ialah satu pembohongan," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sri Antanom, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Musa, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin.

Rabu lalu, ketika mengumumkan keputusan awal Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2012 bagi Sabah di sini, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff dipetik sebagai berkata, kadar kemiskinan di Sabah berkurangan daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus tahun lalu, penurunan tertinggi kadar kemiskinan yang dicatatkan dalam negara.

Beliau berkata, kadar kemiskinan di kawasan luar bandar mencatatkan pengurangan daripada 32.8 peratus pada 2009 kepada 12.9 peratus tahun lalu, manakala di kawasan bandar, angka itu berkurangan daripada 9.8 peratus kepada 5.3 peratus.

Rahamat Bivi juga dipetik sebagai berkata, hasil kajian HIS 2012 itu menunjukkan pendapatan isi rumah purata bagi Sabah pada 2012 meningkat kepada RM4,013 sebulan berbanding RM3,102 pada 2009, peningkatan 29.4 peratus dengan kadar pertumbuhan purata 8.6 peratus setahun.

Muhyiddin berkata, “Sebagai timbalan perdana menteri, saya telah menjelajah banyak tempat di negeri Sabah dan saya tahu situasi dan keadaan sebenar."

"Sebab itu, kita hendak tentukan supaya kerajaan BN yang ada dasar, semuanya hendak membantu rakyat, mesti disokong, dibantu dan diberikan sokongan oleh segenap peringkat rakyat di seluruh negara," katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil pelbagai inisiatif termasuk Program Transformasi Kerajaan untuk membantu rakyat.

“Ini termasuk program mengurangkan kadar jenayah, menghapuskan rasuah, menyediakan pendidikan yang berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat, menyediakan kemudahan asas, memperbaiki sistem pengangkutan dan menangani masalah kos hidup,” katanya.

Timbalan Pengerusi BN itu turut mengingatkan rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman supaya membuat keputusan yang bijaksana pada pilihan raya umum yang diadakan tidak lama lagi bagi menentukan arah tuju masa depan Malaysia.

Katanya, pilihan terbaik untuk rakyat Sabah ialah kerajaan BN yang terbukti kemampuannya membela nasib rakyat.

"Pilihan raya akan datang amat penting bagi negara kerana kuasa yang telah diberikan rakyat kepada BN akan kita kembalikan kepada rakyat selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

"Dalam hal ini, pilihan terbaik bagi rakyat Sabah terutama di kawasan Tenom ini untuk menentukan masa depan mereka, menentukan ekonomi di kawasan masing-masing terus berkembang dan untuk membela kelompok masyarakat di bandar atau luar bandar, tidak lain dan tidak bukan, ialah Barisan Nasional," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment