My Add

Tuesday 12 February 2013

'Najibnomics' merubah ekonomi

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Februari, 2013: Pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani masalah sosial dan ekonomi melalui kaedah dikenali sebagai 'Najibnomics' telah berjaya membawa perubahan dan kejayaan besar kepada negara, walaupun ekonomi dunia kini dilanda pelbagai masalah.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, pelbagai indikator atau petunjuk masa kini membuktikan kejayaan pelaksanaan program-program transformasi ekonomi dan sosial yang dilaksanakan di bawah Model Ekonomi Baharu (MEB).

"Ekonomi negara tumbuh sekitar lima peratus, pelaburan swasta meningkat, produktiviti meningkat, kadar pengangguran berkurangan, kadar jenayah berkurangan dan sebagainya membuktikan kejayaan itu," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

'Najibnomics' ialah satu set dasar ekonomi yang merangkumi idea-idea kreatif dan inovatif, strategi dan program Najib untuk mengangkat negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Tunjang kepada 'Najibnomics' adalah MEB, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan beberapa program transformasi lain seperti berkaitan politik, dunia digital, sosial dan masyarakat.

Mohd. Irwan Serigar berkata, antara lain, Najibnomics juga bermatlamat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang gembira tinggal di negara ini.

Katanya, hasil kejayaan 'Najibnomics' juga menyebabkan Malaysia baru-baru ini berada dalam senarai kelapan dalam 'Ranking Kegembiraan Dunia' dalam kajian oleh The Earth Institute, Universiti Columbia.

"Kegembiraan rakyat boleh dicapai melalui peningkatan pendapatan, peningkatan kadar pekerjaan, peningkatan rumah mampu milik, keselamatan awam terjamin, pengangkutan awam yang cekap dan sebagainya," katanya.

Katanya, melalui pelbagai projek di bawah 'Najibnomics,' Malaysia dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk mencapai visi menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, matlamat akhirnya, pengukuran sebenar kejayaan sesebuah negara itu bukan semata-mata pada pengumpulan kekayaannya tetapi apa lebih penting lagi ialah kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya, pelaksanaan program-program itu sebenarnya telah banyak membawa kejayaan yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

"Misalnya, baru-baru ini, beberapa wakil dari pelbagai badan antarabangsa seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Transparency International dan sebagainya telah diberi peluang untuk meneliti segala hasil pencapaian di negara ini.

"Selepas mengkaji pelbagai fakta itu, mereka sepakat menyatakan Malaysia telah melakukan sesuatu yang menakjubkan dalam memulihkan ekonomi dan meningkatkan kehidupan sosial," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment