My Add

Tuesday 12 February 2013

Pelajar Malaysia di Indonesia perlu rebut peluang - TPM

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

 *Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Ahmad Nabieh Abqory Rahmat (tiga kiri) selepas merasmikan Dewan Malaysia Jakarta yang dahulunya dikenali sebagai Wisma Malaysia di Jalan HOS Chokroaminoto, di Jakarta hari ini. Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) - BERNAMA.

JAKARTA, SELASA, 12 Februari, 2013: Pelajar-pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Indonesia disaran merebut pelbagai peluang keemasan yang akan wujud di rantau ini seiring pembentukan Komuniti ASEAN pada 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang paling pesat berkembang di rantau ini akan menyediakan pasaran yang besar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serantau pada masa hadapan.

Menurut beliau, banyak peluang pekerjaan, perniagaan, pelaburan dan perdagangan akan wujud di kedua-dua negara yang bakal menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi serantau.

"Justeru, manfaatkanlah peluang berada di Indonesia bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga merintis jaringan dengan komuniti setempat dalam pelbagai sektor.

"Ini pastinya akan membantu mewujudkan hubungan yang bermanfaat antara rakyat kedua-dua negara dalam merealisasikan aspirasi Komuniti ASEAN," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pelajar Malaysia di Indonesia membantu menjayakan agenda Komuniti ASEAN dengan berperanan sebagai duta kecil untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala Indonesia-Malaysia.

Peranan berkenaan jelas Muhyiddin, amat penting memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015.

"Apabila tiba masanya nanti, Malaysia akan memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan Komuniti ASEAN, termasuk menyediakan draf hala tuju ASEAN selepas 2015.

"Dengan pembentukan Komuniti ASEAN, rantau ini akan menjadi pusat pasaran dan pengeluaran tunggal, yang mana pergerakan modal dan profesional antara negara-negara ASEAN akan menjadi lebih bebas dan terbuka," kata beliau.

Pada masa sama, Muhyiddin mengajak seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pembangunan Dewan Malaysia Jakarta yang melambangkan kemegahan negara di Indonesia.

Dewan Malaysia Jakarta jelas Muhyiddin, menyediakan ruang kepada pelajar dan masyarakat Malaysia untuk berinteraksi antara satu sama lain serta menjalankan pelbagai aktiviti kebudayaan dan keilmuan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment