My Add

Monday 18 February 2013

Pencarian meteorit di Rusia dihentikan


*TIGA pekerja binaan membaiki tingkap di sebuah hospital yang rosak akibat terkena serpihan hujan meteorit di bandar Chelyabinsk, Rusia, semalam. - REUTERS

MOSCOW, AHAD, 17 Februari, 2013: Pihak berkuasa Rusia semalam menghentikan pencarian serpihan meteorit yang melanda bandar Ural minggu lalu yang menyebabkan kira-kira 1,200 orang cedera dan memusnahkan ribuan bangunan di wilayah itu.

Serpihan meteor seberat 10 tan itu dipercayai jatuh di tengah-tengah Rusia dalam keadaan seperti bola api, kelmarin.

Jurucakap Kementerian Kecemasan, Vyacheslav Ladonkin berkata, dengan suhu sekitar -17 darjah Celsius, penyelam Rusia menghabiskan masa untuk mencari serpihan itu di tasik beku Chebarkul yang dipercayai menjadi tapak lokasi meteorit tersebut.

Bagaimanapun, Kementerian Kecemasan kini memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembaikan di kawasan itu.

Ladonkin berkata, kementerian mempertimbangkan kawasan berlubang seluas lapan meter di tasik beku, kira-kira 60 kilometer daribandar itu tidak disebabkan oleh bahan asing dari angkasa.

"Kami percaya ia berpunca daripada benda yang lain dan keputusan telah dibuat untuk menghentikan pencarian,'' katanya.

Sementara itu, 14 orang masih mendapatkan rawatan di hospital semalam, kebanyakannya luka dan patah tulang, kata seorang doktor, Rossiya Channel dari Hospital Chelyabinsk.

Pusat khas juga telah dibuka untuk menyediakan bantuan psikologi kepada mangsa yang terganggu ekoran kejadian tersebut.

"Terdapat jalur putih di langit, kami sangkakan ada pesawat terbakar.

"Kemudian ada letupan, selepas itu saya tidak tahu apa lagi yang berlaku," kata Vera, seorang pesakit yang berkongsi pengalaman tentang kejadian yang berlaku Jumaat lalu.

Pekerja-pekerja kecemasan menggantikan tingkap kaca yang pecah ekoran kejadian minggu lalu selepas hampir 5,000 bangunan di bandar ini musnah oleh ledakan sonik yang didakwa oleh para saintis.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), menganggarkan jumlah tenaga yang dilepaskan di atmosfera kelmarin adalah kira-kira 30 kali lebih besar daripada kuasa bom nuklear yang dijatuhkan di bandar Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment