My Add

Thursday 14 February 2013

Penjenamaan semula Jabatan Penjara disokong: Abu Seman

SEREMBAN, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata beliau menyokong penjenamaan semula Jabatan Penjara supaya dikenali sebagai Jabatan Penjara dan Perkhidmatan Korektif.

Katanya, penggunaan nama baru ini sesuai berdasarkan pelbagai tanggungjawab unik yang dijalankan pegawai dan anggota jabatan itu dalam membangun semula sumber manusia.

"Ini kerana untuk menyempurnakan tanggungjawab itu, pegawai dan anggota Jabatan Penjara kini bukan saja melaksanakannya di dalam lingkungan tembok penjara, tetapi juga di luar lingkungan berkenaan bersama masyarakat dan turut membabitkan bekas banduan serta pelbagai pihak lain," katanya pada majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang 2012 Jabatan Penjara peringkat zon tengah kepada 262 penerima, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penjara, Komisioner Jeneral Penjara Datuk Sri Zulkifli Omar.

Katanya, usaha jabatan ini melalui pemulihan di luar tembok penjara tidak boleh mengabaikan keperluan pembangunan semula penghuni yang masih berada di dalam penjara.

"Bagi saya, pencapaian pemulihan di dalam penjara menjadi asas serta penentu kejayaan pemulihan di luar penjara. Latihan kemahiran vokasional, pendidikan, kerohanian, kaunseling dan bimbingan untuk penghuni penjara perlu dikembangkan lagi supaya segala persiapan diri yang diberikan adalah di landasan yang betul sebelum seseorang penghuni keluar dari tembok penjara untuk bersama keluarga dan masyarakat," katanya.

Abu Seman berkata, pelbagai program sudah dirancang jabatan itu untuk tahun 2013 dan ia termasuk meluaskan latihan kemahiran bersijil, program sara diri, pembebasan berlesen dan program pemindahan antarabangsa banduan.
Katanya, segala program yang dilaksanakan ini perlu memberikan impak maksimum kerana rakyat hanya mahukan yang terbaik.

"Saya percaya usaha yang dicurahkan akan memperoleh kejayaan dan keyakinan masyarakat akan terus meningkat. Saya yakin dengan keupayaan Jabatan Penjara untuk menjadi sebuah organisasi 'pemulihan' yang unggul dan mampu menghadapi sebarang cabaran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment