My Add

Thursday 14 February 2013

Perdana Menteri bersarapan dengan pemimpin BN Sabah

KOTA KINABALU, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa hampir sejam bersarapan bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, di sini.

Najib yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sabah mulai semalam, turut dihidangkan makanan tradisi Cina 'Yee Sang' sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Antara pemimpin BN Sabah yang hadir ialah Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Salleh Said; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah; Tan Sri Joseph Kurup; Pengerusi MCA negeri, Datuk Edward Khoo, Pengerusi MIC negeri, Datuk V Jothi dan Pengerusi GERAKAN, Negeri Datuk Gordon Leong.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata antara perkara yang dibincang ketika bersarapan ialah perkembangan terkini kejadian sekumpulan rakyat asing menyamar sebagai anggota tentera dan cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu, Selasa lalu.

Perdana Menteri diberitahu mengenai perkembangan kejadian itu oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang sebelum itu diberi taklimat oleh polis.

Selepas bersarapan, Perdana Menteri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk menaiki helikopter ke Beaufort bagi menghadiri Majlis Bersama Rakyat. 

Najib dijadual menghadiri majlis serupa di Papar dan melancarkan Program Nadi Kasih peringkat negeri di Tuaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment