My Add

Friday 8 February 2013

Permohonan Mohamad Salleh gugur tuduhan pecah amanah didengar 11 Mac

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Februari, 2013: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 11 Mac untuk mendengar permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail bagi menggugurkan dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta.

Hakim S.M Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Azimul Azami Mohamad Nor dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Salleh.

Ketika ditemui pemberita, Azimul Azami memberitahu Mohamad Salleh memfailkan permohonan tersebut atas alasan pertuduhan itu cacat dan tiada elemen kesalahan pecah amanah.

Katanya Mohamad Salleh juga memohon untuk mendapatkan pasport bagi membolehkannya mengerjakan umrah pada 10 Mac depan bagaimanapun mahkamah memerintahkannya memfailkan permohonan baru bagi tujuan itu.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mohamad Salleh, 64, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan. 

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Mohamad Salleh juga didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium berkenaan, mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment