My Add

Tuesday 12 February 2013

Persepakatan komponen BN mampu bentuk kerajaan selepas pilihan raya

 JOHOR BAHRU, SELASA, 12 Februari, 2013: Barisan Nasional diyakini dapat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 berdasarkan kesepakatan yang terus kukuh di kalangan parti komponennya berbanding pakatan pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata atas keyakinan itu beliau percaya BN akan menjadi parti tunggal memiliki kerusi terbesar dalam Parlimen untuk membentuk kerajaan.

"BN adalah sebuah parti yang berdaftar, bergerak atas satu logo, manifesto dan bendera sejak lebih lima dekad lalu...keadaan ini amat berbeza dengan pakatan pembangkang, yang sehingga ke hari ini, masih belum didaftar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat UMNO dan BN negeri Johor dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Pengerusi UDA Holdings berkata, percakaran serius dalam pakatan pembangkang amat berbeza dengan kesepakatan yang ada dalam BN yang sudah memerintah negara sejak merdeka dan bersepakat memilih Najib yang juga juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebagai Perdana Menteri.

Beliau yakin dengan perkembangan masa kini yang menyaksikan pakatan pembangkang bertelagah sesama sendiri dalam pelbagai perkara, parti itu tidak akan dapat membentuk kerajaan.

"Pertelagahan serius tentang calon Perdana Menteri di antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah isyarat jelas mengenai kegagalan yang bakal mereka tempuhi di dalam membentuk kerajaan walaupun memenangi PRU-13," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar Singapura, Straits Times baru-baru ini, yang menyatakan akan berlakunya ketidaktentuan dalam politik negara selepas keputusan PRU-13. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment