*DERRICK Fernando Jaramillo Buxeda (kanan) dari Panama bersama Mohd. Ikhwan Mohd. Roselli dari Malaysia berjaya menjadi Johan Kategori Antarabangsa dan Kategori Nusantara pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Piala Perdana Menteri 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam ini. - UTUSAN |
PUTRAJAYA, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Peserta Panama, Derrick Fernando Jaramillo dinobatkan juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2013 bagi Kategori Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Peserta dari Malaysia, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli pula muncul juara Kategori Nusantara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta itu.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis tersebut.
Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM21,700, Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah dan sijil.
Naib johan Kategori Antarabangsa dimenangi peserta dari China, Zhang Yaqi manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Jordan, Abdel Rahman Ibrahim Sulieman.
Bagi Kategori Nusantara, peserta Indonesia, Muhammad Zulfadhli Razali memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh kepada Adi Ismat Lamat dari Brunei.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,500 dan RM9,300 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.
Pertandingan peringkat akhir malam ini menyaksikan lapan peserta iaitu dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Panama, China, Jordan, Afghanistan dan Jerman mempamerkan kemahiran berpidato masing-masing.
PABM edisi ketujuh itu menyaksikan penyertaan seramai 77 peserta daripada 72 negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment