My Add

Monday 11 February 2013

Peter Chin nafi tak bertegur sapa dengan Taib Mahmud

MIRI, ISNIN, 11 Februari, 2013: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini menafikan dakwaan bahawa hubungan antara beliau dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilanda masalah besar sehingga ke tahap saling tidak bertegur sapa.

"Tak ada masalah bagi saya untuk bercakap dengan Ketua Menteri pada bila-bila masa, sebelum ini pun, saya tidak ada masalah untuk bercakap dengan beliau," kata Chin kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini hari ini.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, bagaimanapun mengaku wujud salah faham antara beliau dan Taib sebelum ini, tetapi semua itu kini berakhir.

Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), adalah antara beribu-ribu orang yang menghadiri majlis rumah terbuka Chin hari ini bersama presiden Parti Rakyat Bersatu (PRS), Tan Sri Dr. James Jemut Masing.

Ini kali pertama Taib mengunjungi kediaman Chin sempena sambutan Tahun Baharu Cina sejak Chin menjadi presiden SUPP pada Disember 2011 dan beliau tidak menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di ibu pejabat SUPP di Kuching tahun lepas dengan alasan keadaan kesihatan tidak mengizinkan beliau berbuat demikian.

Ketidakhadiran beliau ke majlis itu mencetuskan spekulasi bahawa ia berpunca daripada pergolakan dalam hubungan antara mereka, termasuk pendirian Taib yang tidak merestui kepimpinan SUPP sekarang.

Bagaimanapun, spekulasi itu berkubur berikutan kunjungan Taib hari ini.

Kemenangan Chin secara tanpa bertanding sebagai presiden SUPP diselubungi kontroversi apabila penentangnya, Menteri Kewangan kedua negeri dan ketua SUPP Cawangan Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh, mendakwa pemilihan di peringkat cawangan dicemari penyelewengan dan ini menyebabkan beliau memulaunya.

Ditanya tentang perbincangan beliau dengan Taib, yang meluangkan masa selama 30 minit di kediamannya, Chin berkata, Taib memberi komitmen PBB akan menyokong SUPP dengan sedapat mungkin pada pilihan raya umum ke-13.

"Keseluruhan perbualan saya dengan beliau menyentuh tentang pentingnya bagi kami menunjukkan wujudnya perpaduan, bekerjasama dengan semua parti komponen BN, bukan saja untuk kebaikan SUPP, tapi untuk BN," katanya.

Chin berkata, sebelum mengakhiri perbualan mereka, Taib menasihatinya supaya berusaha dengan lebih gigih untuk mendapatkan undi pemilih Cina pada pilihan raya umum itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment