My Add

Saturday 16 February 2013

PM lancar dua insentif baharu

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
 
 *NAJIB Tun Razak menyampaikan pasport kepada seorang kanak-kanak, Liew Zi Chee, 1, yang dipangku oleh bapanya, Liew Kean Hong ketika melawat kios Imigresen selepas majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di Ipoh, semalam. Turut kelihatan Ahmad Husni Hanadzlah. - BERNAMA

IPOH, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan program KAR1SMa@Hati Rakyat, satu lagi inisiatif bagi membantu rakyat miskin dan kurang bernasib baik di seluruh negara.

Dengan peruntukan dana RM50 juta, program itu dijangka memanfaatkan 200,000 golongan sasar yang akan memperoleh baucar RM200 di Semenanjung Malaysia dan RM300 bagi Sabah dan Sarawak secara one-off.

“Baucar ini boleh digunakan untuk penebusan barangan keperluan rumah, kelengkapan sekolah, barangan dapur dan memasak serta keperluan khas seperti lampin dan kerusi roda.

“Saya yakin dan percaya ini satu lagi bukti kita mendahulukan rakyat. Saya suka maklumkan bahawa baucar ini perlu ditebus segera sebelum 31 Mac tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program tersebut serentak dengan perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Dana Usahawan Muda bernilai RM50 juta di bawah SME Bank khusus untuk pembiayaan golongan belia yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

Dana tersebut adalah susulan kepada pengumuman yang dibuat Najib mengenai program berkenaan semasa sesi pembentangan Bajet 2013.

Sementara itu, Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, dana berlandaskan syariah itu membolehkan para belia memohon pembiayaan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 untuk tempoh maksimum tujuh tahun.

“Antara syarat kelayakan yang dikenakan ialah pemohon mestilah berumur 18 hingga 30 tahun yang memiliki kelayakan minimum Sijil Keusahawanan atau Sijil Vokasional.

“Pemohon yang tidak memiliki sijil berkenaan, boleh dipertimbangkan dengan syarat mereka menyertai latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR) SME Bank," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment