My Add

Friday 22 February 2013

Polis tahan 23 lelaki terbabit pergaduhan di Georgetown

GEORGETOWN, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Polis menahan 23 lelaki dan merampas 18 kapak dan satu tukul besi ketika cuba mencetuskan pergaduhan di sebuah kelab di Jalan Utama di sini, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata tujuh daripada mereka adalah remaja yang berumur antara 14 hingga 17 tahun.

"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.30 malam memberitahu ada pergaduhan. Bertindak atas maklumat itu polis mengepung kawasan berkenaan dan dapat meleraikan pergaduhan.

"Ini adalah satu perancangan pergaduhan antara pemilik kelab dengan kumpulan daripada luar. Kalau tidak diambil tindakan cepat, mungkin akan berlaku satu pergaduhan besar dan menyebabkan kecederaan kedua belah pihak," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata polis melepaskan satu das tembakan bagi meleraikan pergaduhan itu dan seramai 45 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan 25 anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah membantu meleraikan pergaduhan itu.

Abdul Rahim berkata, ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan.

Katanya, polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki Tho Tong Eng, 44, dan Yeong Kah Man, 22, bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berhampiran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment