My Add

Tuesday 12 February 2013

Program transformasi nasional di landasan betul - Muhyiddin

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

 *MUHYIDDIN Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Jakarta, semalam bagi lawatan kerja dua hari dalam rangka mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia. Turut mengiringi Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Hassan (kiri). - BERNAMA

JAKARTA, ISNIN, 11 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai program transformasi nasional yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini berada tepat pada kedudukannya.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri yang mengibaratkan program transformasi itu seperti sebuah lokomotif yang sedang bergerak menuju hala tuju tepat menegaskan, adalah tidak wajar bagi sesiapa untuk membenarkannya tergelincir daripada landasan.

Katanya, rakyat Malaysia harus membuat pertimbangan yang bijaksana bagi membantu kerajaan sedia ada meneruskan dasar dan polisi yang telah dirancang.

“Kalau ada kelemahan dan kekurangan pada lokomotif itu, kita harus baiki dan betulkan supaya kita dapat mencapai sasaran untuk menjadi negara maju pada 2020," tegasnya ketika berucap dalam majlis makan malam bersama 400 rakyat Malaysia di sini malam ini.

Dasar dan polisi Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak sekian lama juga kata Muhyiddin, berteraskan ketelusan dan sentiasa diperbaiki dari satu fasa ke fasa.

Bagaimanapun, dalam usaha kerajaan memperkasakan dasar- dasar itu, Muhyiddin tidak menafikan akan terdapat masalah.

“Semua kerajaan ada masalah. Yang penting ialah bagaimana keupayaan kita mengurus dan mengurangkan masalah itu. Kalau ada kelemahan dan kekurangan kita perbaiki," katanya.

Muhyiddin yang berada di sini untuk lawatan kerja dua hari mempunyai jadual yang padat termasuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa pagi esok.

Timbalan Perdana Menteri juga akan merasmikan Dewan Malaysia Jakarta di sini yang merupakan mercu tanda hubungan erat antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Beliau juga akan menyampaikan ucapan dalam forum meja bulat Gerakan Kesederhanaan Global pada tengah hari sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment