My Add

Friday 15 February 2013

Projek pembinaan dijangka RM110 bilion

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mengunjurkan industri itu memperoleh projek bernilai RM110 bilion tahun ini, dipacu oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim berkata, tahun lepas, projek yang diperoleh bernilai RM120 bilion, melepasi jangkaan sebanyak RM95 bilion.

"Prestasi industri pembinaan tempatan sangat baik tahun lepas, mencatat pertumbuhan kira-kira 18 peratus lebih tinggi berbanding 2011, walaupun kedudukan ekonomi dunia lemah.

"Kami melihat lebih banyak projek tahun ini dan kami menjangkakan pertumbuhan agak pesat," katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian Ikrar Integriti Korporat (CIP) hari ini, disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Ikrar itu ditandatangani sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan tanggungjawab, ketelusan dan integriti dalam semua urusan dengan orang ramai dan pengamal industri pembinaan.

Judin berkata, lembaga itu menjangkakan industri berkenaan terus sibuk dalam beberapa tahun akan datang ekoran lebih banyak projek MRT dijangka dimulakan serta lain-lain projek ETP.

Bagi pasaran luar negara, beliau berkata, Myanmar dan Indonesia berkemungkinan menawarkan peluang besar berdasarkan penduduk yang besar serta permintaan tinggi untuk projek infrastruktur.

"Kontraktor Malaysia mempunyai pengalaman dan kepakaran bagi menampung keperluan pembinaan mereka," katanya.

Bagi Minggu Pembinaan Antarabangsa anjuran CIDB yang akan berlangsung dari 25 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, India meminta slot untuk mengetengahkan peluang-peluang sedia ada di negaranya, terutama di Koridor Industri Delhi-Mumbai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment