My Add

Friday 22 February 2013

Rakyat bakal terima manfaat besar manifesto BN Selangor

SHAH ALAM, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Rakyat Selangor bakal mendapat manfaat besar sekiranya memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir semula negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jaminan tersebut dinyatakan Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berdasarkan manifesto parti itu di negeri ini yang akan memberi tumpuan kepada setiap keperluan serta menangani permasalahan rakyat pelbagai peringkat di Selangor.

Tambah beliau, manifesto BN Selangor itu secara prinsipnya telah diluluskan Pengerusi BN negeri yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Namun, kita masih membuat penelitian terhadap perkara-perkara penting bagi memastikan manifesto itu dapat dijayakan seterusnya memberi manfaat besar kepada rakyat di semua peringkat golongan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai manifesto BN Selangor yang difahamkan telah diluluskan Najib.

Menurut laporan itu yang memetik The Malaysian Times, manifesto tersebut yang menumpukan kepada penyelesaian isu rakyat bakal diiringi beberapa pengumuman istimewa untuk rakyat Selangor selaras gagasan 1Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai manifesto BN Selangor, Mohd. Zin memberitahu, pihaknya akan mengumumkannya pada tarikh yang ditentukan kelak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment