My Add

Friday 22 February 2013

Rang Daftar Pemilih Suku Tahun 4/2012 diwarta hari ini

PUTRAJAYA, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan Daftar Pemilih Suku Tahun 4/2012 yang mengandungi 294,392 pemilih, terdiri daripada 243,204 pendaftaran baru dan 51,188 pendaftaran bertukar alamat pusat mengundi.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said, dalam satu kenyataan menyebut langkah itu adalah sebagaimana dikehendaki Peraturan 21A & 22(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menetapkan supaya Daftar Pemilih Tambahan diperakui sebelum boleh diguna bagi sesuatu urusan pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pewartaan itu hanya membabitkan permohonan pendaftaran baru atau bertukar alamat pusat mengundi yang tidak terbabit dengan bantahan.

Katanya, bagi pemohon yang nama mereka terbabit dengan bantahan, SPR menangguhkan pemerakuan kepada permohonan itu sehingga bantahan diselesaikan melalui siasatan awam oleh suruhanjaya berkenaan.

Sepanjang tempoh pameran Daftar Pemilih Tambahan pada 17 hingga 30 Januari lalu, SPR menerima 630 bantahan membabitkan 19 bahagian pilihan raya Parlimen dan semua bantahan belum diselesaikan.

"Jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara selepas dicampurkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun 4/2012 dan Daftar Pemilih Induk Tahun 2011 adalah sebanyak 13,291,385 orang," katanya.

Orang ramai yang ingin membuat semakan boleh menghubungi talian 03-8885 6565 atau melayari laman web SPR www.spr.gov.my atau melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment