My Add

Monday 18 February 2013

RM400 juta bantu Orang Asli

 *SHAFIE Apdal bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri Program
 Mesra Rakyat bersama penduduk di Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang, kelmarin.

Oleh ALI MAHMOOD
MARAN, AHAD, 17 Februari, 2013: Sebanyak RM400 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk melaksanakan program pembangunan Orang Asli di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan tersebut merangkumi pendidikan, pembinaan rumah, bekalan air, elektrik dan ekonomi bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Menurut beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan pembangunan golongan itu, malah menyediakan peruntukan besar melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Antaranya memberikan biasiswa kepada 450 pelajar Orang Asli yang kini melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

"Mereka mendapat tajaan biasiswa daripada kerajaan menerusi peruntukan Jakoa yang kesemua mereka sebelum ini mendapat pinjaman Majlis Amanah Rakyat yang akan ditukarkan menjadi biasiswa," katanya selepas menghadiri Program Mesra Rakyat bersama penduduk Kampung Kuala Sentul, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahiza Shamsudin dan ADUN Luit, Datuk Munawar Abdul Jalil.

Katanya, penajaan itu adalah sebahagian Program Mengubah Destinasi Orang Asli yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin di Parit, Perak.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan mempunyai keupayaan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada masa akan datang jika rakyat terus memberi mandat kepada BN menerajui pemerintahan negara.

"Kerajaan BN mampu menunaikan janji tersebut kerana kita berpegang kepada janji dan BR1M bukan untuk memancing undi kerana telah diberikan sebelum ini," katanya - UTUSAN.

No comments:

Post a Comment