My Add

Friday 15 February 2013

RM60 juta baiki 114 lokasi risiko kemalangan

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

*SHAZIMAN Abu Mansor menunjukkan bebola undi sebagai simbolik pelancaran Kerja Undi Pusingan Ketiga Penyenggaraan Jalan Persekutuan peringkat negeri di Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi menjalankan kerja pembaikan di 114 kawasan hitam yang berisiko kemalangan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM35 juta adalah merupakan peruntukan tambahan yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kementerian bercadang untuk berbelanja RM25 juta bagi kerja pembaikan melibatkan 50 kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri pada Mesyuarat Kabinet minggu lalu meluluskan peruntukan tambahan berkenaan selepas melihat data kemalangan di kawasan terbabit menunjukkan penurunan amat memberangsangkan.

"Kerja-kerja pembaikan itu akan dimulakan pada bulan depan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kerja Undi Pusingan Ketiga Penyenggaraan Jalan Persekutuan peringkat negeri di Kompleks Tun Razak, di sini hari ini.

Shaziman berkata, pada 2009 hingga 2011, sebanyak 172 kawasan berkenaan berjaya dibaiki dengan kos RM74 juta dengan menyaksikan kemalangan di tempat terbabit dikurangkan, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Beliau memberi contoh iaitu Jalan Persekutan di Kilometer 352 Raub-Kuala Lipis sebelum ini mencatatkan 13 kemalangan dan apabila kawasan itu dibaiki pada 2010 menunjukkan sifar kemalangan di tempat tersebut.

Katanya, proses melakukan kerja tersebut tidak mengambil masa lama kerana ia dapat disiapkan dalam tempoh antara empat hingga lima bulan.

Sementara itu, beliau berkata, penglibatan kontraktor kecil dan sederhana dalam penyenggaraan Jalan Persekutuan dibuat bagi memberi peluang kepada golongan itu mengambil bahagian dalam kerja-kerja tersebut.

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan sebahagian transformasi kementerian memandangkan tugas tersebut dilakukan oleh syarikat konsesi terbabit.

"Setelah sistem itu diperkenalkan, kementerian berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor terbabit yang setanding dengan syarikat konsesi lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment