My Add

Friday 15 February 2013

Sabah terima RM26 juta peruntukan program Nadi Kasih - PM

TUARAN, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan berjumlah RM26 juta untuk Sabah di bawah Program Nadi Kasih, anjuran Yayasan 1Malaysia Development Berhad (Yayasan 1MDB).

Perdana Menteri berkata, melalui peruntukan itu, setiap kawasan parlimen di Sabah akan menerima RM1 juta untuk membantu memperbaiki 200 rumah rakyat miskin dan miskin tegar yang rosak.

"Inilah cara kita di mana kita menjana kekayaan. Kita mesti menjana kekayaan. Kalau kita nak tolong rakyat, kita tidak boleh tolong melainkan kita ada kebolehan untuk menjana kekayaan. Begitulah juga di peringkat negara. Kalau kita mentadbir negara dengan baik, kalau kita menguruskan ekonomi dengan cekap, menambah pelaburan dalam dan luar negara maka ekonomi kita akan tumbuh dengan lebih.

"Sebab itulah transformasi negara kita iaitu Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan lain-lain diiktiraf dunia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Nadi Kasih peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; dan anggota Kabinet negeri.

Di bawah program itu, setiap rumah yang terpilih untuk dibaik pulih akan mendapat peruntukan RM5,000 dan secara keseluruhannya sebanyak 5,200 buah rumah di Sabah akan dibaik pulih di bawah program berkenaan.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM32.5 juta bagi menaik taraf Jalan Kampung Topokon-Kampung Wangkod Gontung sepanjang 14 kilometer untuk memberi keselesaan kepada kira-kira 3,500 penduduk kawasan sekitar termasuk Kampung Rungus dan Kosusu.

Kerja menaik taraf jalan raya yang dibina sejak tahun 1970-an itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan apabila siap kelak akan turut memudahkan pelajar dari empat buah sekolah rendah di kawasan itu berulang alik ke sekolah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment