My Add

Tuesday 19 February 2013

Saringan jamin kesihatan

 *MUHYIDDIN bergambar bersama para pekerja yang menerima baucar pemeriksaan kesihatan selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan Perkeso di FreeScale Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd. Kelana Jaya, semalam. Turut sama, K. Selvarajah (berdiri dua dari kanan) dan Maznah Mazlan (berdiri tiga dari kanan). - Utusan/ MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 18 Februari, 2013: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Program Saringan Kesihatan yang akan memberi manfaat kepada 1.9 juta pekerja sektor swasta berusia 40 tahun dan ke atas di negara ini.

Program yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu melibatkan peruntukan RM200 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi pembentangan Bajet 2013 tahun lalu.

Melalui program itu, golongan berkenaan layak menjalani saringan kesihatan secara percuma meliputi pemeriksaan fizikal, ujian makmal untuk darah dan air kencing, 'pap smear' dan mamogram untuk pekerja wanita serta khidmat nasihat berkaitan kesihatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau yakin Program Saringan Kesihatan itu berupaya memastikan kesihatan pekerja sentiasa terjamin.

Katanya, adalah menjadi hasrat penting kerajaan mengutamakan kesedaran bagi mewujudkan budaya sihat dan selamat dalam kalangan masyarakat bertujuan menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kos yang ditanggung mereka.

Katanya, kepentingan pemeriksaan kesihatan perlu diberi perhatian terutama oleh majikan dan pekerja.

"Ramai dalam kalangan rakyat hari ini masih tidak menitikberatkan aspek pemeriksaan kesihatan dan menganggap mereka tidak mempunyai penyakit sehingga ia menjadi kronik.

"Program Saringan Kesihatan secara percuma ini memberi ruang dan peluang kepada pekerja-pekerja yang layak untuk mendapatkan diagnosis sesuatu penyakit," katanya ketika berucap melancarkan Program Saringan Kesihatan Perkeso Peringkat Kebangsaan di Zon Perindustrian Bebas Sungei Way dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman; Pengerusi Lembaga Pengarah Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah.

Muhyiddin menambah, kerajaan juga berharap para majikan terus komited dan memainkan peranan aktif dalam memberi sokongan kepada pekerja menerusi pelaksanaan program budaya hidup sihat, penyediaan kemudahan rekreasi dan inisiatif menggalakkan pemeriksaan kesihatan.

Beliau memberitahu, hasil daripada promosi kesihatan di tempat kerja akan menyumbang kepada prestasi organisasi dalam jangka panjang serta menjadikannya lebih berdaya saing dan kompetitif.

"Inisiatif Program Saringan Kesihatan ini tepat pada masanya dan akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat sama ada pekerja, sektor swasta dan negara," ujarnya.

Muhyiddin berkata, kerajaan memandang serius tentang peningkatan jumlah rakyat yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi serta masalah kandungan kolestrol dalam darah yang tinggi dan obesiti.

"Rakyat yang sihat dan produktif merupakan faktor paling utama dalam usaha melonjakkan pembangunan sosioekonomi keluarga khususnya dan negara amnya," ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan juga sedar usaha menjayakan agenda transformasi ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 amat bergantung kepada modal insan dan tenaga kerja yang berkeupayaan serta sentiasa aktif. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment