My Add

Saturday 23 February 2013

Selangor patut sambut baik projek kerajaan pusat: Nor Mohamed

GEORGETOWN, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kerajaan Selangor seharusnya menyambut baik projek yang dilaksanakan kerajaan pusat di negeri itu yang akan membawa kebaikan kepada rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri itu yang menggantung semua projek kerajaan pusat sebagai tidak logik dan menggambarkan kepimpinan yang tidak baik.

"Kerajaan negeri Selangor patut gembira kerajaan persekutuan melaksanakan projek di Selangor. Ini caranya mereka patut bertindak balas, malah perlu meminta lebih. Sebaliknya mereka berkata kami tidak mahu kamu (kerajaan persekutuan) melakukannya.

"Kerajaan persekutuan nak buat projek dengan nawaitu yang baik dan untuk keadilan sosial sebab semua orang memerlukan infrastruktur, tapi dia (kerajaan negeri) tak benarkan sebab perkara lain, isu lain.

"Ini tidak logik dan tidak menggambarkan kepimpinan yang baik," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pelajar Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa kerajaan negeri Selangor menggantung semua projek jalan raya dan prasarana kerajaan pusat di negeri itu sebagai tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Majlis Perbandaran Sepang tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis mengarahkan syarikat penyelenggara kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES di dua lebuh raya dalam Selangor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment