My Add

Friday 8 February 2013

Subahat menipu: Penjual roti dipenjara 3 tahun, 2 sebatan

PETALING JAYA, JUMAAT, 08 Februari, 2013: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap seorang penjual roti kerana bersubahat menipu sebuah syarikat pembinaan melibatkan sejumlah RM500,000 tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, dan memerintahkan V.Rajamorthy, 34, menjalani hukuman mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata pihak bank mengesahkan terdapat transaksi wang masuk sebanyak RM500,000 ke akaun Rajamorthy, dan tertuduh telah mengeluarkan RM200,000.

Mengikut pertuduhan, Rajamorthy didakwa bersubahat dengan anak saudaranya, N.Tamil Arasi, 20, yang bertugas sebagai pembantu akaun di syarikat itu, mengeluarkan wang tersebut di Hong Leong Bank Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pada 3.30 petang, 8 Mei tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Tamil Arasi didapati bersalah menyediakan telegrafi transfer (TT) syarikat pembinaan tersebut yang berjumlah RM500,000 ke akaun Rajamorthy bagi tujuan pembayaran gaji pekerja asing, sehingga mendorong sebuah bank membuat pembayaran ke dalam akaun Rajamorthy.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman terhadap Tamil Arasi sementara menunggu laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Hakim Rozina kemudian membenarkan Tamil Arasi dijamin sebanyak RM20,000 dengan ibunya sebagai penjamin, dan disenarai hitam ke luar negara serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Hakim menetapkan 25 Feb depan untuk sebutan kes.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mathavan Manikam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment