My Add

Thursday 21 February 2013

Sultan Selangor ingatkan hakim syariah tidak lengah kes

SHAH ALAM, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri agar tidak melengah-lengahkan penghakiman kes tanpa alasan munasabah.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda menerima banyak aduan dan rungutan daripada rakyat yang terpaksa menunggu lama untuk memperoleh keputusan penghakiman terhadap kes-kes mereka.

"Beta banyak mendapat aduan dan rungutan daripada rakyat Selangor yang mana kes-kes perceraian, pembahagian harta sepencarian, tuntutan nafkah dan pembahagian harta pusaka terlalu lama untuk mendapat keputusan penghakiman.

"Apabila Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah melengah-lengahkan penghakiman sesuatu kes, ia menyebabkan kehidupan mereka yang terlibat tergendala, atas sebab itu perbicaraan hendaklah diselesaikan dalam tempoh yang sepatutnya," titah baginda.

Baginda bertitah pada majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Panel Tetap Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Istana Bukit Kayangan di sini.

Baginda menitahkan hakim mahkamah syariah supaya mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan dan rintihan yang telah dikemukakan.

Sultan Sharafuddin turut menasihati Hakim Mahkamah Syariah agar sentiasa menyemai sikap berperikemanusiaan dalam diri ketika menangani kes-kes mahkamah tersebut.

"Setiap aduan itu janganlah diterima secara sambil lewa kerana mereka yang membuat pengaduan ke Mahkamah Syariah memerlukan keadilan untuk meneruskan hidup," titah baginda.

Terdahulu, pada majlis itu Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada tiga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, dua Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan tujuh Hakim Mahkamah Rayuan.

Penerima watikah pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ialah Dr Mohd Na"im Moktar, Abu Bakar Mohd Daud dan Mohamad Zakian Dio.

Penerima watikah pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah pula terdiri daripada Zainal Abidin Kusmin dan Hafiz Moksin.

Bagi penerima watikah pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah ialah Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md Yusup Che Teh, Datuk Aidi Moktar, Datuk Hussin Harun, Datuk Yusof Musa, Datuk Mahammad Ibrahim dan Datuk Mohamad Abdullah.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi dan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment