My Add

Friday 22 February 2013

SUPP mesti bersatu, bangkit hadapi cabaran

KUCHING, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bangkit menghadapi cabaran supaya terus relevan dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, untuk mencapainya SUPP mesti mengetepikan perbezaan peribadi dan bergerak sebagai sebuah pasukan.

"Perpaduan SUPP akan mendapat sokongan dan penghormatan daripada masyarakat Cina.

"Saya akan berikan sokongan penuh, Pehin Sri (Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud) akan memberikan sokongan sepenuhnya dan kita akan membuat yang terbaik selagi termampu," katanya dalam Majlis Makan Malam Perpaduan Cina Capgome anjuran SUPP di sini malam ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Dalam majlis berkenaan, Najib menyertai 10,000 tetamu jemputan melakar sejarah Malaysia Book Of Records (MBOR) dalam acara menggaul yee sang teramai.

Sementara itu, kepada masyarakat Cina, Najib menjelaskan kerajaan tidak boleh memenuhi kehendak semua pihak malah tiada mana-mana kumpulan masyarakat yang akan mendapat semua perkara yang dimahukan.

Walau bagaimanapun, beliau memberi jaminan kerajaan akan berlaku adil dan realistik asalkan masyarakat Cina juga mengambil pendirian serupa.

"Kita mahu memberikan khidmat kepada anda, jadi bantulah SUPP untuk menjadi lebih kuat, Pilihan Raya Umum Ke-13 akan menjadi ujian sebenar kepada BN dan SUPP," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat perlu sedar pembangkang akan berterusan memburukkan imej kerajaan sedangkan keadaannya tidaklah seburuk seperti digambarkan.

Tegasnya, jika kerajaan BN terlalu buruk adalah mustahil negara mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sehingga 6.4 peratus tahun lalu.

"Kita tidak mengatakan BN sempurna kerana hanya tuhan yang sempurna, tetapi kita akan menjayakan hasrat menjadi negara maju pada 2020, itu janji dan komitmen saya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment