My Add

Tuesday 19 February 2013

Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia dilancar sasar dana RM10 juta

PUTRAJAYA. ISNIN, 18 Februari, 2013: Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia yang dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri hari ini dilihat sebagai saluran murni untuk masyarakat umum membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia.

Datin Seri Rosmah Mansor berkata, tabung yang menyasarkan kutipan dana sebanyak mungkin itu akan membantu kanak-kanak yang terlibat dengan pelbagai bentuk musibah seperti peperangan, bencana alam, kebuluran dan kemiskinan.

Buat permulaan, katanya, tabung itu diharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM10 juta supaya misi membantu kanak-kanak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, satu Konsert Permata Seni bertemakan Mensyukuri Nikmati Kedamaian akan diadakan pada 25 dan 26 Februari ini di Istana Budaya Kuala Lumpur bagi mengumpul dana untuk tabung itu.

''Saya berharap badan-badan korporat dan individu agar tampil menghulurkan sumbangan bagi tabung itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Konsert Permata Seni 2013 sempena Pelancaran Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia di sini.

Konsert yang menggabungkan elemen lakonan, nyanyian, muzik dan tarian itu menampilkan tiga segmen iaitu Kesengsaraan, Kebahagiaan dan Aspirasi Anak-anak Dunia.

Persembahan pada 25 Februari untuk orang ramai dan masuk adalah percuma manakala keesokan harinya pula dikhususkan untuk tetamu jemputan.

Rosmah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi membolehkan konsert tersebut disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

''Kita amat berharap konsert itu boleh ditonton oleh seluruh anggota masyarakat kerana persembahan tersebut mampu memberi pengajaran kepada rakyat tentang pentingnya mengekalkan keamanan dan kemakmuran sedia ada," katanya.

Konsert diadakan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui agensinya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya dan RTM. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment