My Add

Thursday 14 February 2013

Tak perlu berebut dapatkan BR1M: Wan Junaidi
KUCHING, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) tidak perlu berebut bagi mendapatkan agihan bantuan itu yang disediakan secukupnya kerajaan, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Katanya, tempoh masa yang agak panjang dalam setiap hari penyampaian bantuan itu diberikan bagi mengelakkan penerima BR1M ini daripada tergesa-gesa untuk mendapatkannya.

"Tak payahlah kita berduyun-duyun nak datang. Berilah ruang untuk golongan tua atau yang kurang upaya untuk mendapatkannya dahulu dan elakkan daripada bersesak-sesak," katanya kepada pemberita ketika menyampaikan BR1M 2.0 di bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Kira-kira 5,000 penerima BR1M 2.0 mengerumuni bangunan itu sejak jam 8 pagi untuk mendapatkan bantuan itu yang bernilai RM500 untuk setiap keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dan RM250 untuk golongan bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, lebih 12,000 penduduk yang berpendapatan rendah di kawasan parlimen ini didaftarkan untuk menerima BR1M 2.0. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment