My Add

Friday 15 February 2013

Terus sokong BN bawa lembaran baharu kepada Sabah - PM

TUARAN, KHAMIS, 14 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najb Tun Razak mengajak rakyat Sabah terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan kerajaan pimpinannya membawa lembaran baharu kepada negeri dan rakyat negeri itu.

Beliau berkata, jika kerajaan BN di peringkat negeri dan pusat terus diberi mandat maka rakyat Sabah bukan sahaja akan terus mendapat nikmat malah akan memperoleh keuntungan lebih besar.

"Inilah kerajaan Barisan Nasional. Jadi tak payahlah kita fikir yang lain, kita sokong kerajaan Barisan Nasional peringkat pusat dan kerajaan Barisan Nasional peringkat negeri. InsyaAllah Sabah akan menjurus kepada masa depan, lembaran baharu di mana kita akan membangunkan Sabah bersama negeri-negeri lain," katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Program Nadi Kasih Peringkat Negeri Sabah di hadapan puluhan ribu penduduk Tuaran hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan ahli Kabinet negeri dan Persekutuan.

Menurut Perdana Menteri, apabila beliau mengisytiharkan Sabah sebagai "simpanan tetap BN", parti pembangkang begitu risau sehingga ramai pemimpin mereka berulang-alik ke Sabah untuk meracuni fikiran rakyat dengan menabur pelbagai fitnah dan janji bohong.

Katanya, motif parti-parti pembangkang ialah semata-mata untuk memastikan Sabah tidak lagi menjadi simpanan tetap BN.

"Saya nak bagi tahu tuan-tuan, ini bukan sebarang "simpanan tetap", ini "simpanan tetap" yang memberi keuntungan besar kepada rakyat Sabah. Saya akan tambah lagi kadar keuntungannya. Kalau kurang, kita tambah lagi. Kita memerlukan mandat daripada rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Najib mengajak rakyat Sabah supaya memilih transformasi yang sudah terbukti membawa negara ke arah negara maju serta diiktiraf ramai pemimpin dan perunding dunia sehingga kerajaan berupaya membantu rakyat melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), BR1M 2.0 dan BR1M 3.0 selepas pilihan raya umum.

Katanya, rakyat perlu menolak reformasi yang menganjurkan siri demonstrasi jalanan sehingga membawa banayak masalah kepada rakyat.

Najib juga mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak tertipu dan menolak reformasi dan Buku Jingga pakatan pembangkang yang jelas menipu pengundi di negeri-negeri yang diperintah pembangkang kerana hingga ke hari ini rakyat negeri berkenaan masih belum menikmati apa yang dijanjikan dalam pilihan raya umum lepas.

Mengenai lawatannya ke Beaufort, Papar dan Tuaran hari ini, Najib berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beliau yakin bukan sahaja ketiga-tiga kerusi Parlimen berkenaan tetap menjadi milik BN malah turut yakin Sabah tetap menjadi kubu kuat BN.

Mengenai gelaran Huguan Siou (Pemimpin Agung) kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ranau, beliau berkata, menerima gelaran itu bererti tidak menghormati budaya kaum Kadazandusun Murut (KDM) kerana hanya KDM sahaja yang boleh memakai gelaran itu.

"Orang Melayu mesti hormat budaya KDM. Orang KDM mesti hormat budaya Melayu... kalau kita menghormati budaya orang lain, kalau kita saling menghormati, itulah dia asas 1Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment