My Add

Friday 22 February 2013

The Economist ramal BN menang

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Sekumpulan pemikir majalah antarabangsa The Economist meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jangkaan kemenangan itu adalah berdasarkan rekod BN yang cemerlang, agenda transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kejayaan kepimpinan beliau selepas 2008.

Kumpulan pemikir majalah itu, Economist Intelligence Unit (EIU) yang sering menjalankan analisis terhadap kebanyakan negara dan aspek industri menjelaskan baru-baru ini, sifat BN yang menepati segala janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 juga menjadi antara faktor yang akan membawa kemenangan kepada parti itu nanti.

Menerusi laporan itu yang dipetik oleh laman blog www.thechoice.my, EIU menyatakan bahawa pakatan pembangkang di negara ini kerap membuat janji yang terlalu berkos tinggi bagi mendapatkan kuasa dan ia adalah penghalang bagi mereka untuk menang dalam pilihan raya umum nanti.

"Kumpulan pemikir itu berkata, tidak mudah bagi pakatan pembangkang untuk melaksanakan semua janji yang lepas.

"Sebagai contoh, menyediakan pendidikan tinggi percuma memakan belanja RM43 bilion kepada kerajaan sementara menghapuskan duti kenderaan akan mengurangkan cukai sebanyak RM4.6 bilion setahun kepada negara," kata blog berkenaan.

Menurut blog thechoice lagi, laporan EIU itu juga menyebut bahawa pakatan pembangkang telah memungkiri banyak janji yang dibuat sebelum ini termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada pendidikan pra sekolah, pelajar universiti, warga emas dan orang kurang upaya selain menurunkan cukai hartanah dan bantuan bagi rakyat membeli rumah.

Berdasarkan laporan itu juga, blog itu memberitahu, walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah menegaskan manifesto bukan satu janji kepada rakyat, tetapi rakyat akan tetap menganggap apa yang disenaraikan pembangkang itu sebagai janji yang perlu ditunaikan oleh kerajaan memerintah.

Blog itu menjelaskan, EIU juga menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bermula 2013 sehingga 2017 akan terus tumbuh dengan baik.

"Faktor itu menjadi satu lagi sebab kukuh kepada kebangkitan semangat parti pemerintah yang dipimpin oleh Najib," menurut blog itu lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment