My Add

Thursday 21 February 2013

Tindakan MB Kedah angkat sumpah semula dipertikai

Oleh AZMAN IBRAHIM  
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Penganalisis undang-undang, Prof. Salleh Buang hari ini mempertikaikan tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan 10 Exco kerajaan negeri, mengangkat sumpah bagi menyambung semula portfolio masing-masing.

Tindakan itu dianggap oleh beliau sebagai mempunyai muslihat atau 'udang di sebalik batu' iaitu sekadar untuk meraih perhatian rakyat menjelang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir.

Kata Salleh, Azizan bersama 10 Exco kerajaan negeri tidak perlu berbuat demikian kerana peranan dan tugas mereka tetap sama dengan menjadi care taker atau kerajaan sementara sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Februari ini.

"Cuma, mereka tidak boleh membuat perkara-perkara baharu mengikut kepentingan negeri sehingga terbukti mereka kalah dalam PRU-13.

"Jika mereka kalah, mereka perlu melepaskan semua jawatan yang disandang dan tidak perlu mengangkat sumpah semula.

"Saya tidak pernah dengar dan terkejut bahawa terdapat undang-undang kerajaan negeri yang membenarkan pelantikan pengerusi jawatankuasa negeri dijalankan setiap tahun.

"Apa-apa pun, dari segi amalan demokrasi, hal itu terletak pada budi bicara Menteri Besar Kedah selepas mempersembahkan senarai Exco yang ingin dilantik kepada pemangku Sultan Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Online di sini.

Hari ini, Azizan serta 10 anggota exco kerajaan negeri Kedah telah mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Pelantikan barisan Exco itu dibuat memandangkan tempoh lantikan mereka akan berakhir pada 28 Februari ini dan portfolio masing-masing dikekalkan.

Kedah merupakan satu-satunya negeri dengan jawatan pengerusi jawatankuasa peringkat negeri (exco) perlu diperbaharui setiap tahun. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment