My Add

Friday 22 February 2013

Unit khas penyelidikan budaya ditubuh - Dr. Rais Yatim

KUALA KLAWANG, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan satu unit khas bagi mempertimbangkan penyelidikan tentang budaya, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Rais berkata, penyelidikan budaya akan dilaksanakan beberapa penyelidik dan kementeriannya akan memberi galakan serta bimbingan, di samping bayaran bagi penyelidikan mereka.

"Usaha ini diambil memandangkan terlalu ramai dalam kalangan rakyat di negara ini yang tidak mengenal budaya orang Melayu. Begitu juga orang-orang tertentu juga, semacam tidak mengenal apakah budaya yang ada di Malaysia ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program Jejak Online, Mudahnya! Edisi Jelebu anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Jabatan Perdana Menteri di Padang Awam Kampung Teriang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (ICT) Mampu, Datuk Dr. Nor Aliah Mohd. Zahri.

Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, selama ini perkara tentang budaya dibiarkan begitu sahaja, tetapi kementeriannya mengambil inisiatif ini kerana kementerian mempunyai tanggungjawab dari sudut perpaduan dan keharmonian.

"Lantaran itulah kita mampu membuat penyelidikan budaya pelbagai kaum, budaya pelbagai agama dan untuk sama-sama menghormati dan menyemarak budaya tersebut.

"Misalnya berhubung wayang kulit, wayang jalanan Cina, tarian India dan hari kebesaran sama ada berkaitan Deepavali, Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Tadau Kaamatan serta Gawai, Krismas dan sebagainya mesti kita lahirkan nas-nas kebudayaan ini.

Rais berkata, nilai dan budaya yang baik hendaklah diamalkan rakyat negara ini kerana ia mampu memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

"Semua ini boleh diterjemahkan menerusi asuhan dan bimbingan sejak kecil lagi," katanya.

Sementara itu, Nor Aliah berkata, kerajaan menyasarkan 90 peratus daripada perkhidmatan kerajaan disampaikan secara online pada 2020.

Katanya, sehingga ini 56.45 peratus daripada 11,732 jumlah perkhidmatan keseluruhan boleh dicapai secara online.

"Sehingga kini 3,973 kampung ditauliahkan sebagai Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia. Contoh terdekat Kampung Teriang ini merupakan sebuah Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia. Selain itu, 365 lokasi di seluruh negara juga dibina pusat Internet 1Malaysia," katanya.

Katanya, program Jejak Online, Mudahnya! adalah usaha kolaboratif yang baik antara Mampu dan SKMM di bawah Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat diperluas dan disampaikan ke semua pelusuk negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment