My Add

Monday 18 February 2013

Xenophon: KL-Canberra tidak terjejas

 *NAJIB dan Dr. Mahathir Mohamad tiba untuk perasmian Festival Tahun Baharu Cina 2013 dan yee sang terpanjang di Malaysia oleh Perdana Menteri di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Izham Jaafar

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin pengusiran Senator Australia, Nick Xenophon dari negara ini semalam tidak akan menjejaskan hubungan di antara Kuala Lumpur-Canberra.

Katanya, ini kerana jika Xenophon mempunyai niat tidak baik, maka adalah lebih elok jika senator dari 'negara kanggaru' itu tidak memasuki Malaysia.

"Jika dia datang ke sini dengan niat tidak baik, maka adalah lebih elok dia tidak datang langsung.

"Jika mereka (Australia) mengkritik kita, mereka boleh berbuat demikian, namun kita tidak perlu melayan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Sambutan Tahun Baharu Cina 2013 dan pelancaran yee sang terpanjang di Malaysia di Jalan Bukit Bintang di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Imigresen menahan Xenophon dari memasuki negara ini di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang semalam dan dihantar pulang pada sebelah malamnya.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, Xenophon dikategorikan sebagai seorang yang tidak diingini dan dilarang masuk ke negara ini kerana pernah mencetuskan isu yang cenderung ke arah menggugat keharmonian negara.

Sementara itu, Dr. Mahathir ketika berucap dalam majlis berkenaan memberitahu, keamanan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini terhasil apabila mereka mendukung konsep perkongsian sesama masyarakat.

"Inilah Malaysia, kita tidak pernah bermusuh antara kaum. Kita lebih suka bekerjasama dan berkongsi, disebabkan itu maka kita aman.

"Kita juga berkongsi kuasa kerajaan dan tiada siapa yang ketinggalan sama ada Melayu Cina, India, Kadazan atau Iban dan lain-lain. Kita bukan sahaja berkongsi perniagaan dan kekayaan, malah perayaan juga," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment