My Add

Saturday 16 February 2013

yabas bukan minta wang kerajaan Selangor

PUTRAJAYA, JUMAAT, 15 Februari, 2013: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memberikan penjelasan mengenai perbelanjaan modal (Capex) yang dinafikan kerajaan Selangor terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) - Syabas bukan meminta wang daripada kerajaan negeri tetapi hanya memohon kebenaran untuk penyumberan dana syarikat itu bagi pengendalian operasinya.

Beliau berkata, di bawah perjanjian konsesi ditandatangani antara kerajaan negeri dan syarikat pembekal air itu, Capex yang amat diperlukan itu sepatutnya diperoleh menerusi dana daripada bank komersial dan institusi kewangan lain.

"Anda tidak boleh mempunyai industri air yang tidak melabur dalam Capex. Jadi dengan ketiadaan Capex, tangan Syabas terikat. Ia tidak akan dapat melaksanakan kerja naik taraf dan keperluan melakukan penambahbaikan dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian konsesi," katanya di pejabatnya di sini hari ini.

Fah Kui berkata, kementeriannya sedar setiap orang akan menderita jika keadaan itu berlarutan dan tanpa Capex, fasiliti seperti pam air beroperasi di luar kapasiti sebenar untuk tempoh lama dan akhirnya rosak, seperti apa yang berlaku bulan lepas di stesen pam Syabas Wangsa Maju yang mengakibatkan sekurang-kurangnya setengah juta orang tidak mendapat bekalan air.

"Jadi adalah amat penting iaitu selagi anda mahu memastikan industri air berada pada tahap sihat, perlu ada Capek. Dan apa yang perlu dilakukan kerajaan negeri ialah membenarkan Syabas meneruskan dengan Capex. Wujudkan sumber untuk dana, manfaatkannya tetapi disebabkan sikap kerajaan negeri itu, kini Syabas bukan sahaja tidak mempunyai dana tetapi perlu menyaman untuk mendapatkan dana itu. Ini amat malang sekali," katanya.

Beliau bertanya: "Jadi pada akhirnya, apa yang anda jangkakan kementerian ini lakukan, apa yang kerajaan Persekutuan mahu lakukan? Melihat sahaja keadaan ini berlarutan dan membenarkan situasi buruk menjadi lebih teruk?".

Itulah rasional bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan peruntukan RM120 juta untuk menaik taraf fasiliti bagi mengelakkan situasi seperti di Wangsu Maju berulang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment