My Add

Wednesday 13 February 2013

YPPM tubuh cawangan di setiap negeri, perluas tanggungjawab Mustasyar

KUALA LUMPUR, RABU. 13 Februari, 2013: Bagi memperluas dan merancakkan aktiviti yang dirancang, Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) akan menubuhkan cawangan di peringkat negeri, mulai tahun ini.

Penasihat Kehormat YPPM, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat Lembaga Pengarah YPPM dalam mesyuarat yang dipengerusikan Juhaidi Yean Abdullah pada 7 Februari lalu.

"Cawangan pertama yang ditubuhkan ialah di Kedah dan akan disusuli negeri lain tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mashitah berkata, YPPM bersetuju melantik Tuan Guru Haji Sobri Othman sebagai Penyelaras YPPM Cawangan Kedah untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa selepas pelantikan yang akan disempurnakan pada satu majlis khas sempena Ijtima Ulama Pondok pada 16 Februari depan di Dewan Tun Abdul Razak, Baling.

Mashitah berkata, pelantikan Sobri iaitu seorang ulama terkenal yang juga pengasas dan pengetua Pondok Tanjung Kapur di Jitra, Kedah itu adalah berdasarkan keyakinan YPPM terhadap ketokohan, pengalaman, dan mutu kepimpinannya.

"Saya percaya beliau akan dapat memberi perkhidmatan cemerlang dan sumbangan besar kepada pembangunan institusi pondok di Kedah," katanya.

Dengan penubuhan Cawangan Kedah dan pelantikan Sobri sebagai penyelaras, katanya, YPPM berharap segala aktiviti dan program yang diadakan di negeri itu akan lebih tersusun dan lancar terutama dari segi penyaluran maklumat, penerangan serta penyaluran bantuan kepada pondok-pondok dan warganya.

Di samping itu, cawangan dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Penyelaras di setiap negeri juga diharap dapat memantapkan jalinan hubungan antara pondok dan warganya, agensi kerajaan dan swasta, badan-badan sukarela dan NGO untuk memartabatkan pondok dan membela kebajikan warganya.

Antara lain, Mashitah juga memaklumkan bahawa YPPM bersetuju memperluas bidang tugas dan tanggungjawab Mustasyar YPPM meliputi cawangan negeri dan AJK penyelaras bertujuan memastikan kedua-dua badan itu dapat berfungsi dengan lebih berkesan seperti yang diharapkan.

Pengerusi Mustasyar YPPM ialah Tan Sri Prof Ulung Dr Kamal Hasan.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah dalam mesyuarat pada 7 Februari lalu memutuskan Datuk Hasbullah Abdul Halim dilantik Mustasyar di Kedah, Pulau Pinang dan Perak, Prof Datuk Dr Uthman El-Muhammady (Kelantan), Datuk Nooh Gadot (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan) dan Ustaz Badli Shah Alauddin (Pahang dan Terengganu).

“Bagi Selangor, tanggungjawab Mustasyar akan diambil oleh Lembaga Pengarah YPPM manakala bagi Perlis, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan, tiada pelantikan dibuat kerana tidak ada pondok di negeri-negeri itu,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment