My Add

Monday 25 March 2013

10,000 himpun, berarak bantah DAP

 *RAKYAT Pulau Pinang termasuk ahli NGO berkumpul dalam Himpunan
Penyatuan Rakyat di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, semalam.

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG, AHAD, 24 Mac, 2013: Hampir 10,000 rakyat pelbagai kaum di negeri ini menyertai Himpunan Penyatuan Rakyat membantah pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan gagal menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kehidupan rakyat negeri ini semakin tersepit sejak lima tahun lalu.

Perhimpunan yang berlangsung di Padang Kota Lama di sini hari ini merupakan kesinambungan daripada beberapa siri bantahan yang diadakan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri sejak kebelakangan ini.

Gerakan itu bertujuan menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Apa yang menarik, perhimpunan kali ini turut disertai Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) yang majoriti anggotanya merupakan ahli Pas.

Kumpulan pertama kira-kira 5,000 orang berkumpul lebih awal di lokasi manakala satu lagi kumpulan berarak sejauh hampir tiga kilometer dari Masjid Kapitan Keling menuju ke Padang Kota.

Turut berlangsung ialah bacaan doa selamat untuk mengenang perjuangan anggota keselamatan negara yang gugur ketika bertugas di Lahad Datu, Sabah, selain nyanyian lagu Inilah Barisan Kita.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow ketika menyampaikan ucapannya menggesa rakyat negeri ini melihat semula pencapaian kerajaan DAP Pulau Pinang setelah lima tahun mentadbir.

"Dalam tempoh itu, apa yang mereka buat? Tiada langsung, tiada satu pun rumah kos rendah dibina untuk rakyat dan baru-baru ini, tampil dengan idea mahu membina terowong dasar laut bertol.

"Sebaliknya, Kerajaan Pusat yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tampil menjalankan tanggungjawab itu menerusi pengumuman untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik," katanya.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Timbalan Pengerusi MIC negeri, L. Krishnan; Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Azhar Ibrahim serta pemimpin-pemimpin BN negeri lain.

Mengulas lanjut, Cheng Yeow berkata, keadaan ekonomi negeri ini juga menunjukkan kemerosotan selepas kemasukan pelaburan semakin berkurangan.

"Ini semua berlaku kerana kerajaan negeri tidak mempunyai pelan ekonomi yang baik untuk memacu pertumbuhan dan apa yang mereka lakukan hanya mementingkan pemaju sahaja," ujarnya.

Menurutnya, jika BN dapat merampas kembali Pulau Pinang, pihaknya akan mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang.

Sementara itu, peserta perhimpunan dilihat membawa pelbagai sepanduk yang mengecam Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ada yang memakai baju T dengan perkataan 'Lim Guan Eng Racist' serta meluangkan slogan 'Kerajaan Negeri Penipu'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment