My Add

Saturday 9 March 2013

12 Mac penentu sama ada amah lambung bayi perlu jalani pemeriksaan mental

KUANTAN, JUMAAT, 08 Mac, 2013:: Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Mac depan untuk memutuskan sama ada pembantu rumah warga Indonesia yang melambung bayi bekas majikannya, perlu menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam T Vijandran dan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad berhubung permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara berjumlah 20 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada 19 Februari lalu ke atas Yuliana, 23.

Wanita itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera Mohamed Hareez Mohamed Zamri yang berusia empat bulan di kediaman ibu bapa mangsa di Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini pada 15 Februari lalu.

Mariana berkata, beliau ingin melihat kes itu secara keseluruhan sebelum membuat keputusan.

Terdahulu, Vijayandran berkata, Yuliana perlu dihantar ke hospital psikiatrik kerana dia tidak pernah menjalani pemeriksaan mental ketika dalam tahanan polis sehinggalah tertuduh dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.

"Dari kelakuan dan perbuatannya, kita boleh tahu bahawa ia adalah satu perbuatan yang tidak waras," katanya.

Sementara itu, Nor Azizah memohon mahkamah mengetepikan permohonan itu atas alasan Yuliana tidak perlu menjalani pemeriksaan mental kerana sepanjang lima hari dalam tahanan dan siasatan polis, tertuduh tidak menunjukkan sebarang perlakuan atau keadaan yang tidak waras.
 
"Siasatan polis tidak menunjukkan dia perlu dihantar menjalani rawatan mental, dan ketika fakta kes pendakwaan dikemukakan, pemohon mengaku terhadap perbuatannya.

"Walaupun tiada fakta kes sekalipun, jelas menunjukkan bahawa pemohon mengaku melakukan kesalahan itu melalui tayangan rakaman CCTV di rumah mangsa yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah," katanya.

Yuliana yang hadir di mahkamah dengan berbaju lokap warna ungu dan bertudung turut ditanya beberapa kali oleh Mariana sama ada dia memahami atau mengetahui prosiding apa yang berjalan hari ini. Dia hanya menjawab, "saya tidak faham". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment