My Add

Friday 8 March 2013

3 lelaki samun barang kemas RM200,000 di Kota Bharu

KOTA BHARU, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Tiga lelaki bersenjatakan parang, kapak dan besi tajam merompak barang kemas bernilai kira-kira RM200,000 di sebuah kedai emas di Jalan Temenggong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azhan Othman berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 4.45 petang ketika lima pekerja berada di premis tersebut.

Tiada pelanggan di kedai ketika itu.

Menurutnya, tiga lelaki berpakaian jaket hitam dan topi keledar tiba-tiba memasuki kedai itu dan memecahkan cermin pameran barang kemas dengan menggunakan senjata yang dibawa.

"Ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 20-an melarikan diri selepas mengisi barang kemas bernilai kira-kira RM200,000 ke dalam beg plastik," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata, menurut saksi, suspek dikatakan melarikan diri dengan menaiki dua motosikal yang diletak di tepi sebuah restoran tidak jauh dari kedai emas itu.

Azhan berkata pihaknya membuat sekatan jalan raya di semua pintu masuk dan keluar di bandar ini bagi mengesan suspek terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment