My Add

Friday 8 March 2013

32 lagi pengganas dibunuh

 *ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia dalam keadaan bersiap sedia menaiki
 kereta perisai bagi mengesan pengganas Sulu dalam Op Daulat di Kampung
Tanjung Batu dan Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, semalam.

LAHAD DATU, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Seorang pemimpin kumpulan pengganas Sulu berpangkat jeneral adalah antara 32 yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan negara dalam dua serangan di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanduo sehingga kini.

Jumlah itu menjadikan angka kematian kumpulan pengganas sejak Op Daulat dilancarkan sejak kelmarin kini meningkat kepada 52 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam serangan pertama petang semalam, pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas di Kampung Tanduo.

Menurut beliau, dalam serangan hendap kedua di Kampung Tanjung Batu pukul 11.30 pagi ini, sebanyak 31 lagi penjenayah termasuk seorang dipercayai berpangkat jeneral ditembak mati.

"Bagaimanapun kami belum dapat mengesahkan identiti penceroboh berpangkat jeneral terbabit.

"Op Daulat masih diteruskan kerana saya percaya masih terdapat saki baki kumpulan pengganas itu di dua buah kampung ini dan ketika ini kita mengepung mereka di kawasan lebih kecil," katanya dalam sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkifeli memberitahu, tindakan ofensif akan diteruskan secara berhati-hati bagi mengelak sebarang kecelakaan atau kehilangan nyawa ke atas pasukan keselamatan negara.

Beliau berkata, operasi menggeledah dan mencari itu mungkin mengambil sedikit masa untuk memastikan keselamatan anggota terjamin selain kawasan operasi yang besar.

"Kami percaya terdapat sejumlah lagi mayat penceroboh yang belum dapat dikeluarkan dari kawasan operasi atau ditanam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment