My Add

Tuesday 12 March 2013

4,000 seniman dapat polisi insurans

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Sebanyak 3,000 hingga 4,000 orang seniman yang terlibat dalam industri kreatif tanah air menerima polisi insurans kemalangan diri dan hayat berkelompok.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu diputuskan oleh kerajaan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini bagi memastikan kebajikan golongan seniman sentiasa diberi perhatian dan terbela.

Menurut beliau, pekerja belakang tabir diberi polisi insurans sebanyak RM4,000, pelukis, penulis, pengukir masing-masing mendapat RM1,000 manakala pelakon, penyanyi, pelawak, pemuzik dan lain-lain pula menerima RM3,000.

"Polisi insurans ini adalah tanda kasih sayang dan simpati kerajaan kepada golongan seniman yang telah mewarnai industri kreatif negara," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pembukaan semula pawagam LFC Coliseum dan penyerahan Bantuan Seni Kreatif 1Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Penerangan, Datuk Maglin Dennis D Cruz; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; dan Pengarah Urusan Lotus Five Star dan LFS Cinemas, Garuna Murthee.

Pawagam Coliseum yang dibina pada 1920 telah ditutup sementara pada April tahun lalu bagi kerja-kerja penambahbaikan dan kini sudah beroperasi semula.

Rais berkata, satu jawatankuasa yang dianggotai oleh ahli-ahli panel akan dibentuk untuk menilai kelayakan penerimaan faedah ini, termasuklah peserta industri yang berada di Labuan, Sabah dan Sarawak.

Tambah Rais, kementerian akan menemui pertubuhan-pertubuhan yang mewakili industri kreatif untuk memberikan penerangan tentang perlindungan insurans tersebut bagi memastikan tidak ada seorang pun yang tercicir dalam mendapatkan bantuan tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta seniman yang terlibat dalam industri berkenaan segera membuat pendaftaran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment