My Add

Tuesday 12 March 2013

50 kawasan di ibu kota alami gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR, SELASA, SELASA, 12 Mac, 2013: Sebanyak 50 kawasan di sekitar ibu kota mengalami gangguan bekalan air dan masalah tekanan air rendah sejak semalam akibat penurunan paras air di kolam-kolam utama.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Priscilla Alfred, berkata penurunan paras air itu disebabkan permintaan bekalan meningkat susulan cuaca panas dan kering sekarang manakala loji rawatan pula tidak dapat menampung permintaan.

Antara kawasan terbabit ialah Taman Bukit Permai, Taman Mutiara Seputeh, Jalan Chan Sow Lin, Brickfields, Taman Maluri dan Taman Nirwana, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"Sebanyak enam lori tangki digerakkan ke kawasan yang terbabit bagi memberi bekalan air kepada pengguna," katanya.

Katanya, kawasan terjejas menerima bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat yang kini beroperasi melebihi kapasitinya pada kadar 28.76 peratus.

Katanya, kadar pengeluaran semasa bagi LRA Sungai Langat adalah 466 juta liter sehari (JLH), namun berdasarkan rekod 1 hingga 11 Mac, tahap pengeluaran terkini ialah pada 497.75 JLH.

"Pihak SYABAS memaklumkan kejadian ini kepada pihak Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor berhubung perkara ini melalui mesyuarat yang diadakan dan Syabas juga akan memaklumkan kepada para pengguna berhubung status terkini dari semasa ke semasa," katanya. 

Sehingga jam 11.30 pagi hari ini sebanyak 39 aduan berhubung ketiadaan air direkodkan selain 15 aduan yang memohon permintaan bekalan air.

Untuk maklumat lanjut pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau terus ke laman Facebook dan Twitter SYABAS. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment