My Add

Monday 4 March 2013

6 lagi anggota polis terkorban

 
LAHAD DATU, AHAD, 03 Mac, 2013: Seramai enam anggota pasukan keselamatan terkorban selepas diserang hendap kumpulan bersenjata dipercayai mempunyai kaitan dengan Tentera Diraja Kesultanan Sulu yang bersembunyi di Kampung Srijaya Simunul, Semporna malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang akhbar malam ini memberitahu, mayat kesemua mangsa berjaya dibawa keluar selepas tamat operasi di lokasi terbabit kira-kira pukul 7 petang.

Beliau berkata, pasukan keselamatan turut menemukan enam mayat yang tidak dapat dikenal pasti dipercayai daripada kumpulan penceroboh terbabit.

Ismail turut mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan ditawan kumpulan penceroboh itu seperti didakwa sebaliknya kesemua anggota terbabit yang menjalankan operasi di situ diserang hendap dan menyembunyikan diri.

"Kesemua 19 anggota pasukan keselamatan kita menyembunyikan diri semasa pertempuran sebelum diselamatkan. Mereka kini dalam keadaan selamat dan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna.

"Kesemua nama dan identiti anggota pasukan keselamatan kita yang terkorban akan diberitahu selepas keluarga masing-masing dimaklumkan," katanya sambil memberitahu, keadaan di Semporna kini pulih seperti biasa.

Senarai nama kesemua enam anggota polis yang terbunuh tidak didedahkan atas sebab keselamatan dan untuk makluman keluarga mereka terlebih dahulu.

Sebelum itu, Ismail dalam sidang akhbarnya berkata, pihaknya mendapat maklumat terdapat sekumpulan bersenjata di kampung berkenaan dan apabila pihak berkuasa polis tiba di kawasan itu, mereka telah diserang dan ditembak.

Turut sama dalam sidang akhbar itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohamad Zain dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Tambah Ismail, pada masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada kumpulan berkenaan turut mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

"Kita telah mengetatkan kawalan di kawasan kampung berkenaan dan turut meningkatkan jumlah anggota membuat kawalan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, polis mengesan kehadiran 10 individu berpakaian celoreng yang dipercayai ada kaitan dengan Tentera Diraja Kesultanan Sulu memasuki kawasan Kampung Long Malong dan Kampung Dasar Lama di Kunak dekat sini malam tadi.

"Berdasarkan risikan, kumpulan warga asing itu memasuki kampung berkenaan kira-kira pukul 10 malam. Menurut maklumat, tiga daripada mereka mempunyai senjata dan polis telah menghantar pasukan untuk mencari mereka.

"Pada masa ini, pihak polis telah mengetatkan kawalan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment