My Add

Friday 22 March 2013

7 teras manifesto khas BN Selangor

 *MOHD. Zin Mohamed (depan, tiga dari kiri) dan Abdul Rahim Kamarudin (empat
 dari kiri) serta para pemimpin parti di Pejabat UMNO Bahagian Gombak, Selangor,
 semalam. - UTUSAN/NOOR ASREKUZAIREY SALIM

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Sebanyak tujuh teras utama merangkumi pembangunan perumahan untuk rakyat serta penyelesaian masalah air di Selangor akan diletakkan dalam manifesto khas Barisan Nasional (BN) Selangor bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, manifesto yang mencakupi segenap lapisan masyarakat itu berpandukan agenda mendahulukan kepentingan rakyat di negeri itu.

Menurutnya, selain perumahan dan masalah air beberapa perkara lain akan diberikan tumpuan termasuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, pusat penjagaan harian kanak-kanak serta pengurusan sampah yang menjadi antara isu besar di Selangor.

"Sekarang, kita sedang memurnikan manifesto itu kerana kita perlu prihatin kepada rakyat. Kita jamin masalah air terawat dapat diselesaikan jika BN kembali mentadbir Selangor.

"Sepatutnya masalah air di Selangor tidak timbul jika kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor khususnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak degil dan meletakkan kepentingan untuk rakyat," katanya.

Mohd. Zin berucap di hadapan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Gombak sempena lawatan kerjanya di Parlimen Gombak di pejabat UMNO Bahagian Gombak, dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamarudin dan jawatankuasa parti serta pemimpin BN setempat.

Mohd. Zin berkata, pihaknya yakin manifesto berkenaan akan diumum beberapa hari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN melancarkan manifesto BN di peringkat nasional sejurus mengumumkan pembubaran Parlimen nanti.

Walau bagaimanapun, jelasnya, jentera BN perlu memastikan mana-mana janji yang dibuat kepada rakyat sebelum ini diselesaikan terlebih dahulu.

"Jika ada janji-janji yang tidak selesai, beritahu kepada saya. Saya tidak mahu kita dikatakan tak penuhi janji. Mana-mana janji yang memerlukan bajet besar atau kajian mendalam dan perancangan, maklumkan, kita akan semak," katanya.

Berhubung senarai calon BN di Selangor pula, kata beliau, senarai itu sudah ada dan pihaknya kini sedang meneliti senarai tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat kesiapsiagaan BN Ampang di pejabat UMNO Bahagian Ampang, beliau mengingatkan semua jentera UMNO dan parti komponen meningkatkan kerjasama dan mengetepikan sikap pentingkan diri sendiri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment