My Add

Tuesday 19 March 2013

800 lagi calon program khas haji terima surat tawaran

PUTRAJAYA, ISNIN, 18 Mac, 2013: Seramai 800 orang terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) hari ini menerima surat tawaran menunaikan fardu haji 1434H/2013 tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majlis penyerahan surat tawaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Dalam ucapannya, Najib berkata, adalah menjadi hasrat beliau untuk melihat kumpulan yang amat penting di peringkat akar umbi itu berpeluang menunaikan fardu haji.

"Kumpulan itu amat penting dan mudah-mudahan melalui program tersebut, apa yang diidamkan menjadi satu mimpi manis.

"Ini kerana sudah pasti menjadi impian sebelum menutup mata pasti menaruh hasrat untuk menjejakkan kaki ke Mekah. Alhamdulillah tidak lama lagi akan menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata, ini merupakan kemudahan yang diberikan kerajaan kerana mereka yang terpilih turut diberikan elaun serta satu majlis juga akan diadakan sebelum mereka berlepas ke tanah suci.

Sementara itu, Najib berkata, Tabung Haji membelanjakan sebanyak RM110 juta bagi menampung keseluruhan kos jemaah haji Malaysia tahun ini, iaitu dengan kadar tanggungan untuk mereka yang pertama kali mengerjakan haji sebanyak RM5,575 bagi seorang jemaah.

Selain itu, katanya, hubungan baik negara dengan Arab Saudi juga memberikan banyak keistimewaan diperoleh oleh para jemaah.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut berkongsi pengiktirafan yang diterima Malaysia daripada Pengerusi Majlis Pemegang Amanah Institut Antarabangsa Al-Quds, Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

Dr. Yusuf dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam utama yang sentiasa memberi perhatian berat terutama dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment