My Add

Sunday 10 March 2013

80,000 rumah mampu milik di Lembah Klang, WP - Najib

 *NAJIB Tun Razak diberikan penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA,
 Datuk Abdul Mutalib Alias (kiri) mengenai projek perumahan 1Malaysia Alam
 Damai di Cheras, Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Menteri Wilayah
 Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal
Abidin (dua kanan). - UTUSAN

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan sederhana di Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan (WP).

Najib berkata, daripada jumlah itu, 50,000 unit rumah akan dibina di Lembah Klang menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), manakala baki 30,000 unit lagi bakal dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Ini bererti 80,000 unit kesemuanya yang akan dilaksanakan di bawah identiti rumah mampu milik," katanya ketika berucap melancarkan PR1MA Alam Damai Cheras di sini.

Perdana Menteri memberi jaminan harga bagi setiap unit rumah yang ditawarkan di bawah projek tersebut adalah dalam lingkungan yang mampu dibeli oleh kumpulan sasar iaitu mereka yang mempunyai pendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan.

"Program untuk kategori sederhana ini perlu kerana mereka biasanya terlepas daripada program kerajaan sebelum ini...untuk golongan miskin kita ada program seperti Rumah Rakyat dan kita juga ada program untuk mereka yang tinggal di luar bandar," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa setiap keluarga di Malaysia ingin memiliki kediaman sendiri namun kadang kala hasrat itu dibatasi oleh kemampuan kewangan.

"Impian untuk memiliki rumah ini bukan sesuatu yang tidak realistik atau tidak wajar, malah ia merupakan satu hak rakyat yang mesti dipenuhi di bumi Malaysia yang bertuah ini," katanya.

Najib berkata menyedari akan hakikat itu maka kerajaan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi impian setiap rakyat termasuk dengan menubuhkan PR1MA yang bertanggungjawab melaksanakan program Rumah Mampu Milik.

"Bila kita kaji perkara ini secara mendalam kita dapati mereka ingin memiliki rumah dan rumah itu mestilah dalam kategori mampu dimiliki oleh mereka.

"Jika terpaksa bayar ansuran bulanan terlalu tinggi meskipun jika pendapatan besar secara relatif tapi akan hadapi kesempitan daripada segi kewangan pada setiap bulan terutama hujung bulan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment